Saturday, March 8, 2008

Penyakit Gusi Berkaitan Dengan Buah Pinggang

Penyelidikan di Universiti Case Western Reserve, Cleveland, Ohio, Amerika Syarikat mendapati mereka yang mempunyai penyakit gusi dan juga kehilangan beberapa batang gigi mempunyai risiko hampir dua kali ganda lebih tinggi untuk menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Mereka yang mempunyai penyakit gusi dilihat mempunyai risiko 60 peratus lebih tinggi menghidap CKD sementara individu kehilangan gigi mempunyai risiko 85 peratus lebih tinggi.

Penyakit gusi dan kehilangan gigi merupakan faktor risiko bukan tradisional yang dikaitkan dengan CKD di samping kurang pendedahan maklumat dan kegagalan menggunakan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

CKD merupakan antara masalah kesihatan umum yang kurang didiagnosis dan bilangan mereka yang menghidapinya semakin meningkat setiap tahun.

Kumpulan penyelidik berkenaan menyatakan maklumat baru dari beberapa penyelidikan lain dapat membantu menjelaskan dengan lebih rapi hasil rawatan gusi dalam mengurangkan jumlah kes CKD.

Kajian lanjut untuk memahami kaitan antara CKD dan penyakit gusi juga dicadangkan bagi membantu mengurangkan bilangan , perkembangan dan komplikasi CKD.

Friday, February 15, 2008

Stress Kerja Boleh Membunuh



Kerja boleh membunuh. Bukan sahaja alasan untuk mereka yang malas, tetapi kajian terkini membuktikan tekanan melampau di tempat kerja boleh membawa maut.

Pakar Epidemiologi Kolej Universiti London, Tarani Chandola menjelaskan, tekanan tempat kerja didapati memberi kesan secara terus kepada kesihatan pekerja terutama masalah jantung.

Selain itu, hormon tekanan melampau juga boleh mengganggu sistem biologi dalaman badan yang lain. Penyelidik mengambil masa 12 tahun untuk menganggarkan peningkatan 68 peratus risiko masalah jantung di kalangan pekerja yang sering tertekan di tempat kerja, terutamanya yang berusia di bawah 50 tahun.

Menurut Chandola, pekerja yang tertekan lebih cenderung untuk merokok, mengambil alkohol, tidak bersenam dan tidak mengamalkan pemakanan seimbang, semuanya dikaitkan dengan risiko masalah jantung.

Selain itu, hormon tekanan dikenali sebagai kortisol juga didapati lebih tinggi daripada normal di dalam badan pekerja tertekan.

Hormon ini memberikan ledakan tenaga seperti ketika berasa cemas tetapi terlalu banyak kortisol di dalam salur darah boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan juga jantung.